KEISTIMEWAAN
DAN AMALAN-AMALAN
10
HARI PERTAMA DI BULAN ZULHIJJAH
Pujian-pujian hanya
untuk Allah SWT, Dialah yang memiliki kelebihan dan nikmat-nikmat secara
mutlak. Ya Allah, selawat dan salamkanlah ke atas junjungan nabi kami Muhammad
SAW, keluarga dan para sahabat baginda serta orang yang mengikut mereka dengan
baik hingga ke hari kiamat.
Allah
telah menetapkan rahmat ke atasNya dan menyebarkan rahmatNya di kalangan
hamba-hambaNYa. Dengan rahmat itu ia meliputi semua sesuatu sebagaimana yang
dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran:
وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ
كُلَّ شَيْءٍ
Maksudnya:
Dan rahmatKu meliputi
tiap-tiap sesuatu
al-A’raf:156.
Di antara rahmat Allah, Dia
menjadikan untuk kita ada musim-musim bagi mengandakan kebajikan dan
meninggikan darjat agar seseorang hamba itu mendapatkan apa yang telah luput
daripadanya. Bagi mereka yang mendapat kebahagiaan mereka akan mendapat peluang
dan bagi lalai mereka tidak akan meremeh dan mengecilkannya.
Di musim yang penuh berkat
ini, iaitu 10 hari yang pertama di bulan Zulhijjah, ianya merupakan hari-hari
yang teristimewa di dunia ini. Siang harinya lebih istimewa daripada siang hari
di bulan Ramadhan dan malamnya lebih istimewa daripada malam-malam di bulan
Ramadhan.
Dalil keistimewaan 10 hari
pertama di bulan Zulhijjah
Pertama: Allah bersumpah
dengannya. Sebagaimana yang maklum, Allah tidak bersumpah dengan sesuatu
melainkan kerana memuliakan makhluk-makhluk dan waktu-waktu. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah Taala di dalam
al-Quran:
وَالْفَجْرِ (1) وَلَيَالٍ
عَشْرٍ (2)
Maksudnya:
Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai
kelebihan di sisi Allah). (al-Fajr:1-2).
Iaitu 10 hari bulan
Zulhijjah sebagaimana yang dinyatakan oleh ulama tafsir.
Kedua:
Daripada Ibnu Abbas RA
katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا
أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ
قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ وَلَا
الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ
يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْء
Maksudnya:
“Tiada
mana-mana hari yang amal sholeh padanya lebih disukai oleh Allah selain daripada hari-hari ini iaitu yang sepuluh hari
ini.” Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah,
walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah SAW bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, melainkan
seseorang itu yang keluar (pada jalan Allah) membawa
diri serta hartanya dan ia tidak kembali lagi selepas itu (mati syahid). (Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan
Muslim).
Manakala
dalam riwayat yang lain: Daripada Ibnu Umar RA, daripada Nabi SAW, baginda
bersabda,
مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ
وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ
فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
Maksudnya:
“Tiada mana hari-hari yang lebih agung di sisi
Allah dan tiada yang lebih disukaiNya beramal padnya daripada hari-hari yang
sepuluh ini, oleh itu perbanyakkan padanya tahlil, takbir dan tahmid (Ahmad, Syeikh
Ahmad Syakir menshahihkan isnadnya).
Ketiga:
Antara keistimewaannya, boleh
dikatakan semua ibadat terhimpun pada hari-hari tersebut manakala pada masa
lain ibadat ini tiada terhimpun padanya. Padanya ada
sembahyang, sedekah, puasa bagi yang ingin berpuasa padanya, korban, haji di
Mekah, talbiyyah dan doa yang menunjukkan ketauhidan kepada Allah.
Ibadat-ibadat yang terdapat ini merupakan ibadat yang ada kemuliaannya
tersendiri yang tiada pada ibadat lain.
Keempat:
Padanya ada hari Arafah iaitu hari yang kesembilan daripada bulan
Zulhijjah. Hari keampunan, taubat, kemaafan, pembebasan dari neraka dan
kebanggaan dengan orang yang berada di Arafah. Daripada Aisyah RA katanya,
bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ
يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya:
“Tiada
mana hari-hari yang lebih ramai Allah memerdekakan hambaNya dari neraka berbanding
hari Arafah. (Muslim)
Dalam
riwayat yang lain, ada dinyatakan: Daripada Ibnu Jabir RA, daripada Nabi SAW, bahawa
baginda bersabda:
مَا مِنْ يوْمٍ أَفْضَلُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ
يوْمِ عَرَفَةَ يَنْزِلُ اللَّهُ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيُبَاهِي بِأَهْلِ
الْأَرْضِ أَهْلَ السَّمَاءِ
Maksudnya:
“Tiada
mana hari-hari yang lebih istimewa di sisi Allah berbanding dengan hari Arafah,
Ia menurukan rahmatNya ke langit dunia lalu Ia membanggakan penduduk bumi terhadap penduduk langit . (Ibnu
Hibban)
Ada
dalam juga riwayat yang lain,daripada Abu Hurairah RA katanya bahawa Rasulullah
SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ يُبَاهِي بِأَهْلِ عَرَفَاتٍ
مَلَائِكَةَ أَهْلِ السَّمَاءِ، فَيَقُولُ: انْظُرُوا إِلَى عِبَادِي هَؤُلَاءِ
جَاءُونِي شُعْثًا غُبْرًا
Maksudnya:
“Apabila
hari Arafah, Allah SWT berbangga dengan ahli Arafat (mereka yang berada di padang Arafah kerana menunaikan ibadat
Haji) terhadap para malaikat penduduk langit
lalu berkata: Lihatlah kepada hamba-hambaKu, mereka datang kepadaKu dalam keadaan kusut-masai. (Ibnu Hibban)
Kelima:
Di antara keistimewaannya iaitu terdapat padanya hari nahar, hari yang
kesepuluh Zulhijjah yang merupakan hari teristimewa sebagaimana yang dinyatakan
dalam hadis:
أَفْضَلُ الْأَيَّامِ يَوْمُ
النَّحْرِ
Maksudnya:
Seafdhal-afdhal hari
ialah hari Nahar (sepuluh Zulhijjah) (Ahmad dan Abu Daud).
Hari Nahar adalah hari
yang agung bagi Jemaah haji, mereka mengerjakan melontar jumrah Aqabah,
bercukur, sembelih hadiah, tawaf, saie, sembahyang raya dan sembelih korban.
KEADAAN ORANG-ORANG TERDAHULU
DENGAN 10 HARI
Orang-orang terdahulu di kalangan
orang-orang sholeh, mereka mengagong-agongkan hari-hari ini dan mereka merebut
peluang ini dengan kesungguhan yang luar biasa. Kata Othman al-Hindi
sebagaimana dalam Lataif al-Ma’arif: Orang-orang terdahulu di kalangan
orang-orang sholeh mereka mengagongkan tiga yang sepuluh iaitu 10 hari yang
terakhir dalam bulan Ramadhan, 10 hari yang pertama dalam bulan Zulhijjah dan
10 hari yang pertama dalam bulan Muharram.
Diriwayatkan daripada Anas bin
Malik RA katanya:
كَانَ يُقَالُ
فِي أَيَّامِ الْعَشْرِ: «كُلُّ يَوْمٍ أَلْفُ يَوْمٍ وَيَوْمُ عَرَفَةَ عَشَرَةُ
آلَافٍ» قَالَ: يَعْنِي فِي الْفَضْلِ
Maksudnya:
Dikatakan berkenaan 10 hari
tersebut: Setiap hari adalah 1000 hari dan hari Arafah (10 Zulhijjah) adalah 10 ribu hari. Ianya berkenaan
keistimewaan. (al-Baihaqi:Fadhailul Auqat).
Diriwayatkan
daripada al-Auza’i katanya:
بَلَغَنِي أَنَّ الْعَمَلَ فِي الْيَوْمِ مِنْ أَيَّامِ
الْعَشْرِ كَقَدْرِ غَزْوَةٍ فِي سَبِيلِ اللهِ، يُصَامُ نَهَارُهَا وَيُحْرَسُ
لَيْلُهَا إِلَّا أَنْ يُخْتَصَّ امُرُؤٌ بِشَهَادَةٍ
Maksudnya:
Telah sampai kepadaku bahawa
sesungguhnya amalan satu hari pada hari-hari yang sepuluh itu ianya seumpama perang pada jalan Allah, puasa
pada siang harinya dan berjaga pada
malamnya melainkan seseorang dikhususkan mati
syahid. (al-Baihaqi: Syu’abul iman).
Wahai yang dikurniakan kemampuan bersaing pada musim ini!
Wahai yang dikurniakan peluang ini! Rebutlah untuk melakukan kebaikan-kebaikan.
Wahai hamba-hamba Allah! segeralah
kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan
kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi.
Janganlah kamu ketinggalan untuk mendapatkannya, jangan diturut keinginan dan
kemalasan kamu.
ANTARA
AMALAN-AMALAN PADA 10 HARI PERTAMA DI BULAN ZULHIJJAH
1-Haji:
Amalan-amalan
sholeh yang disyariatkan pada 10 hari ini ialah menunaikan manasik haji yang
diwajibkan oleh Allah SWT iaitu ke atas setiap orang Islam yang berkemampuan
dan menepati syarat-syarat kewajipannya.
Rasulullah
SAW bersabda:
مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ
فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ مِن ذُنُوبِهِ كَيَوْمَ وَلَدَتْهُ أمهُ
Maksudnya:
Sesiapa
menunaikan haji di Baitullah sedangkan dia tidak melakukan rafas (perkara berkait dengan hubungan jenis) dan
tidak melakukan fusuk (kejahatan dan maksiat) maka
kembali dosa-dosanya seperti hari yang ia dilahirkan oleh ibunya.(Muttafakun alaihi).
Baginda juga ada bersabda:
تَابِعُوا بَيْنَ الحَجِّ
وَالعُمْرَةِ، فَإِنَّهُمَا يَنْفِيَانِ الفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِي الكِيرُ
خَبَثَ الحَدِيدِ، وَالذَّهَبِ، وَالفِضَّةِ، وَلَيْسَ لِلْحَجَّةِ الْمَبْرُورَةِ
ثَوَابٌ إِلاَّ الجَنَّةُ.
Maksudnya:
Turutkanlah antara haji dengan umrah, kerana
keduanya menghapuskan kemiskinan dan
dosa-dosa sebagaimana tungku pembakaran menghapuskan karat pada besi, emas, dan perak. Manakala haji yang
mabrur ganjaran tidak lain melainkan syurga. ( Tarmizi
dan Nasa’i)
2-Puasa:
Sunat
perbanyakkan puasa pada hari-hari yang sepuluh ini. Puasa pada sembilan hari
itu tersebut termasuk dalam amalan sholeh yang disyariatkan. Sabda Rasulullah
SAW:
مَا مِنْ عَبْدٍ يَصُومُ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلَّا
بَاعَدَ اللهُ، بِذَلِكَ الْيَوْمِ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا
Maksudnya:
Tiada di kalangan hamba yang
berpuasa satu hari pada jalan Allah melainkan dijauhkan
mukanya oleh Allah pada hari tersebut dari neraka sejauh 70 tahun. (al- Bukhari dan Muslim).
Semakin bertambah ganjaran pahala
puasa apabila terjadi pada hari-hari yang penuh berkat ini. Kata al-Nawawi:
Bukan puasa pada hari yang sembilan iaitu pada sembilan Zulhijjah sebagai sangat
makruh tetapi ia sangat disunatkan
(Syarah Shahih Muslim).
Puasa pada hari
Arafah dapat menghapuskan dosa dua tahun, sebagaimana yang dinyatakan oleh
Rasulullah SAW:
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ
يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ...
Maksudnya:
Puasa pada hari Arafah dengan ikhlas
kerana Allah, ia dapat menghapuskan dosa setahun
yang telah lalu dan setahun akan datang. (Muslim).
Ia bermaksud dosa-dosa kecil
sebagaimana yang telah lalu keterangannya, seumpama ini juga berkenaan
penghapusan dosa dengan wuduk dan kami telah sebutkan di sana jika tiada
dosa-dosa kecil maka diharapkan dapat meringan dosa-dosa besar dan jika tiada
dosa besar diharapkan dapat ketinggian darjat. (Syarah Muslim).
3-al-Quran:
Bermuamalah dengan
al-Quran merupakan perniagaan yang sesekali tidak merugikan, oleh berusahalah
untuk mengkhatamkannya dalam sepuluh hari ini bagi yang berkemampuan berbuat
demikian.
أَفَلَا يَغْدُو أَحَدُكُمْ
إِلَى الْمَسْجِدِ فَيَعْلَمُ، أَوْ يَقْرَأُ آيَتَيْنِ مِنْ كِتَابِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ،
خَيْرٌ لَهُ مِنْ نَاقَتَيْنِ، وَثَلَاثٌ خَيْرٌ لَهُ مِنْ ثَلَاثٍ، وَأَرْبَعٌ خَيْرٌ
لَهُ مِنْ أَرْبَعٍ، وَمِنْ أَعْدَادِهِنَّ مِنَ الْإِبِلِ
Maksudnya:
Apakah
tiada seseorang dikalangan kamu ke masjid lalu ia belajar atau membaca dua ayat dari kitab Allah, ia lebih baik
daripada dua ekor anak unta betina, atau tiga ayat ia lebih baik daripada tiga ekor anak unta atau empat ayat ia
lebih baik daripada empat ekor anak unta dan begitulah seterusnya
dinilai bilangannya daripada unta (satu ayat yang
dibaca lebih baik seekor anak unta). (Muslim).
Ketahuilah
wahai saudaraku seIslam, anda tidak
sesekali akan dapat mendekatkan diri kepada Allah seumpama kitabNya dengan
membaca, bertadabbur dan berhakim.
4-Sembahyang:
Sabda
Rasulullah SAW:
الصَّلَاةُ خَيْرُ
مَوْضُوعٍ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ أَنْ يَسْتَكْثِرَ فَلْيَسْتَكْثِرَ
Maksudnya:
Sembahyang
merupakan sebaik-baik perkara, sesiapa yang mampu membanyakkannya hendaklah ia memperbanyakkannya. (Jamik
al-Shahih)
Juga baginda SAW ada bersabda:
مَا عَمِلَ ابْنُ آدَمَ
شَيْئًا أَفْضَلَ مِنَ الصَّلَاةِ، وَصَلَاحِ ذَاتِ الْبَيِّنِ، وَخُلُقٍ حَسَنٍ
Maksudnya:
Tiada
suatu amalan anak Adam yang teristimewa daripada sembahyang, membaikkan dua jiwa yang bermusuhan dan baik akhlak.
(Jamik al-Shahih).
Oleh
itu, wahai saudaraku, jangan anda lupa membina istana dalam syurga dengan
melaksanakan 12 rakaat sembahyang sunat selain daripada yang fardhu, sembahyang
sunat Dhuha dua rakaat atau lebih dan qiyamullail. Sabda Rasulullah SAW:
ثَلاثَةٌ يُحِبُّهُمْ
اللهُ، وَيَضْحَكُ إِلَيهِمْ، وَيَسْتَبشِرُ بِهمُ... والَّذِي لَهُ امْرَأَةٌ حسنةٌ،
وَفِراشٌ ليِّنٌ حَسنٌ، فَيَقُومُ مِنَ اللّيْلِ فَيقُولُ: يَذَرُ شَهْوَتَهُ وَيَذْكُرُني،
وَلَوْ شاءَ رَقَدَ
Maksudnya:
Tiga
golongan yang disukai oleh Allah, yang Ia tersenyum kepada mereka dan yang Ia bergembira dengan mereka…di antaranya
dinyatakan ialah orang yang beristeri
baik, menidurinya dengan baik
dan ia berqiyamullail. Lalu Allah SWT berfirman: Dia meninggalkan syahwatnya, dia mengingatiKu dan kalau dia
hendak nescaya dia tidur. (at-Tabrani).
Memelihara
sembahyang-sembahyang sunat merupakan satu daripada sebab-sebab yang mendapat
kasih sayang Allah SWT. Orang yang mendapat kasih sayang Allah, dia pasti
terpelihara, permintaannya ditunaikan, mendapat perlindungan dan ditinggikan
kedudukannya kerana ia menyempurnakan yang kurang, menguatkan yang retak dan
menutup yang cacat.
5-Zikir:
Zikir
adalah ungkapan yang sangat disuka oleh Allah, ia sebagai sebab mendapat
keselamatan di dunia dan akhirat, mendapat kejayaan, sebutan di sisi Allah,
mendapat rahmat Allah dan didoakan oleh para malaikat. Ia adalah senjata yang
sangat ampuh. Ia sebaik-baik amalan, sebaik-baik penyuci dan meninggikan
darjat. Ia lebih baik dari nafqah, dengannya digandakan ganjaran oleh Allah,
keampunan dosa dan pemberat timbangan mizan.
Firman
Allah SWT:
لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ
لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ
مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ
Maksudnya:
Supaya mereka
menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan
menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak
(untuk dijadikan korban).
Ada diriwayatkan oleh
Imam Ahmad daripada Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ
أَعْظَمُ عِنْدَ اللهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ
الْعَشْرِ، فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنَ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
Maksudnya:
Tiada
mana-mana hari yang agung di sisi Allah dan tiada yang lebih disukai kepadaNya daripada beramal padanya
dari hari-hari yang sepuluh ini oleh perbanyakan
tahlil, takbir dan tahmid.
Abu
Hurairah RA dan Ibnu Umar RA apabila masuk sepuluh hari di bulan Zulhijjah,
mereka berdua akan ke pasar, mereka bertakbir lalu diikuti orang ramai
bertakbir bersama mereka. (al-Bukhari).
Waktu
takbir sebagaimana yang diperkatakan di kalangan ahli ilmu, ada dua jenis iaitu
mutlak dan muqaiyad. Waktu takbir mutlak ialah sepanjang masa bermula maghrib
malam ke sepuluh Zulhijjah hingga imam mula sembahyang raya. Manakala takbir
muqaiyad pula ialah bermula pada Shubuh pada hari yang ke sembilan Zulhijjah
hingga selesai sembahyang Ashar hari yang ketiga belas Zulhijjah. Takbir
muqaiyad ini dilakukan mengiringi setiap kali selesai sembahyang sama ada sembahyang fardhu
atau pun sembahyang sunat, sama ada lelaki ataupun wanita dan sama ada kecil
ataupun dewasa.
Takbir
muqaiyad ini ada dinyatakan oleh Saidina Ali dan Ibnu Abbas RA, bahawa ianya
bermula dari Shubuh hari Arafah hingga Ashar hari Tasyrik yang terakhir iaitu
tiga belas hari bulan Zulhijjah. Manakala bagi Jemaah haji, mereka mula bertakbir
setelah melontar jumrah Aqabah hari yang kesepuluh Zulhijjah.
Bentuk lafaz takbir ialah:
اللَّهُ أَكْبَرُ
اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ
أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ (3x)
اللَّهُ أَكْبَرُ
كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا،
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَلَا نَعْبُدُ إِلَّا إِيَّاهُ، مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ
وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ
وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ
أَكْبَرُ -اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ (al-Umm)
6-Sedekah:
Sedekah iaitu dengan menolong orang yang memerlukan, memberi makan
kepada orang yang dalam kelaparan, mengembirakan orang mukmin dengan memasukan
kegembiraan dalam jiwa mereka dan menjauhkan kesedihan yang mereka alami, ianya
di antara perkara yang disukai oleh Allah. Oleh itu, sedekah mendorong
seseorang itu untuk mendapat kebaikan, gandaan ganjaran, perlindungan pada hari
kiamat yang tiada perlindungan selainNya, membuka pintu kebaikan, menutup pintu
keburukan, membuka pintu syurga, disukai oleh Allah, disukai oleh manusia,
balas kasihan, membersih jiwa serta harta, diampun dosa, membebaskan diri dari
kehambaan wang-ringgit, Allah memelihara diri, harta, anak, dunia dan akhiratnya.
Daripada
Ibnu Umar RA katanya bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW:
Siapakah orang yang disukai oleh Allah? Apakah amalan-amalan yang lebih disukai
oleh Allah? Baginda SAW:
أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى
اللَّهِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ، يَكْشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً، أَوْ يَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا،
أَوْ يَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا
Maksudnya:
Orang
yang paling disukai oleh Allah ialah orang yang paling bermanfaat dan (amalan yang paling disukai iaitu) yang dapat
menghapuskan kesedihan (orang lain), menjelaskan
hutang (orang lain) dan menjauhkan kelaparan (orang lain).( Tabrani)
7-Korban:
Disyariatkan
korban bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan menumpahkan darah binatang
korban dan mensedekahkan dagingnya kepada golongan fakir miskin. Korban
termasuk dalam syiar Islam, ia melambangkan pengorbanan, penebusan, sunnah bapa
para nabi iaitu Ibrahim AS, ia adalah amalan yang paling disukai oleh Allah
pada hari Adil Adha. Daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ
مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى الله مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا
لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلاَفِهَا وَإِنَّ
الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ الله بِمَكانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الأَرْضِ فطِيبُوا بِهَا
نَفْساً
Maksudnya:
Tiada
mana-mana amalan anak Adam pada hari Nahar (Aidil Adha) lebih disukai oleh Allah dari menumpahkan darah (binatang
korban), ia akan datang pada hari kiamat dengan
tanduk-tanduk, bulu-bulu, dan kuku-kukunya. Darah binatang korban itu akan sampai di suatu dari Allah sebelum ia jatuh ke atas tanah oleh itu
hendaklah kamu berbuat baik
dengannya (Ibnu Majah dan Tarmizi).
Korban adalah sunat muakkad dan
sesiapa yang berkemampuan untuk melakukannya tetapi meninggalkannya adalah
makruh.
Antara perkara yang berkait dengan
korban, hendaklah binatang korban itu cukup umur. Bagi kambing cukup umurnya dua
tahun sempurna, kibas umurnya cukup setahun atau bersalin gigi hadapan setelah
enam bulan. Bagi unta cukup umurnya lima tahun dan bagi lembu cukup umurnya dua
tahun.
Binatang besar seperti unta, lembu
dan kerbau boleh dikongsi hingga tujuh orang jika ingin berbuat demikian.
Manakala bagi binatang kecil seperti kambing, biri-biri dan kibas, hanya boleh
dilakukan untuk seorang sahaja bagi seekor.
Antara syaratnya juga, hendaklah
binatang tersebut tidak ada sebarang kecacatan sebagaimana yang dinyatakan
dalam hadis nabi SAW dan ia telah diterangkan secara terperinci oleh para
ulama. Selain itu, disyaratkan sembelihan itu dilakukan pada waktu tertentu
iaitu bermula selepas sembahyang Aidil Adha hingga terbenam matahari hari yang
ketiga belas Zulhijjah.
Bagi seseorang yang hendak melakukan
ibadat korban, mereka dikehendaki jangan menghilangkan rambut atau bulu dan
jangan memotong kuku-kukunya. Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Ummu
Salamah RA, sabda Rasulullah SAW:
مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ
يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ،
وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ
Maksudnya:
Sesiapa
yang ada binatang korban yang ia hendak sembelihnya, apabila terbit anak bulan Zulhijjah maka jangan sesekali
ia memotong rambut (bulu) dan kukunya sehingga
ia menyembelih binatang korbanya.(Muslim). Larangan ini ditujukan ke atas orang yang hendak melakukan ibadat
korban dan ianya dihukumkan makruh berbuat demikian.
8-Doa:
Daripada Abdullah bin Umar al-Khattab RA, bahawa Rasulullah
SAW bersabda: Sebaik-baik doa adalah doa hari Arafah dan sebaik-baik apa yang
aku baca dan para nabi sebelum dari aku iaitu:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ
اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ
شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya:
Tiada
Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Esa, yang tiada sekutu bagiNya, bagiNya kerajaan, kepujian dan Dia
Maha Kuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. (Tarmizi)
Kata
Ibnu Abdul Bir: Mengikut ilmu fiqh, doa hari Arafah adalah doa yang paling
afdhal berbanding selainnya. Dalam hadis ini juga menunjukkan bahawa doa hari
Arafah mustajab kesemuanya pada kebanyakkannya. (al-Tamhid)
9-Bertaubat dan menjauhi maksiat:
Di
antara perkara yang wajib dalam sepuluh hari yang pertama di bulan Zulhijjah
ini serta sepanjang masa iaitu bertaubat dengan taubah nasuha. Seseorang itu
perlu kembali kepada Allah SWT dengan membuang segala maksiat dan dosa. Firman
Allah SWT:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ
آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang
beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha. (Tahrim:8)
Dari itu,
bersegeralah bertaubat dengan taubat yang benar iaitu meninggalkan
larangan-larangan, meminta halal dari orang yang dizalimi, mengembalikan
hak-hak dan menjauhi maksiat.
Wahai saudaraku yang
dirahmati oleh Allah SWT: Rebutlah peluang dalam sepuluh hari ini dengan
mengerjakan segala amal sholeh, banyakan doa dan istighfar serta mendekatkan
diri kepada Allah dengan sedekat-dekatnya. Semoga kita mendapat kejayaan yang
besar dan moga-moga Allah jadikan kita di kalangan orang yang bersegera
mendapatkan kebaikan tersebut dan di kalangan mereka yang berlumba-lumba
mendapatkannya.
وصلى الله وسلم علي سيدنا محمد وعلى آله وصحبه ومن تبعه واقتفى أثره إلي يوم الدين. وآخر
دعوانا أن الحمد لله رب العالمين.