Selasa, 15 Ogos 2017

Amalan yang lebih istimewa daripada lailatu qadar

KEISTIMEWAAN DAN AMALAN-AMALAN
10 HARI PERTAMA DI BULAN ZULHIJJAH

Pujian-pujian hanya untuk Allah SWT, Dialah yang memiliki kelebihan dan nikmat-nikmat secara mutlak. Ya Allah, selawat dan salamkanlah ke atas junjungan nabi kami Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda serta orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kiamat.
Allah telah menetapkan rahmat ke atasNya dan menyebarkan rahmatNya di kalangan hamba-hambaNYa. Dengan rahmat itu ia meliputi semua sesuatu sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran:
وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ
      Maksudnya:
    Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu al-A’raf:156.

Di antara rahmat Allah, Dia menjadikan untuk kita ada musim-musim bagi mengandakan kebajikan dan meninggikan darjat agar seseorang hamba itu mendapatkan apa yang telah luput daripadanya. Bagi mereka yang mendapat kebahagiaan mereka akan mendapat peluang dan bagi lalai mereka tidak akan meremeh dan mengecilkannya.
Di musim yang penuh berkat ini, iaitu 10 hari yang pertama di bulan Zulhijjah, ianya merupakan hari-hari yang teristimewa di dunia ini. Siang harinya lebih istimewa daripada siang hari di bulan Ramadhan dan malamnya lebih istimewa daripada malam-malam di bulan Ramadhan.

Dalil keistimewaan 10 hari pertama di bulan Zulhijjah
Pertama: Allah bersumpah dengannya. Sebagaimana yang maklum, Allah tidak bersumpah dengan sesuatu melainkan kerana memuliakan makhluk-makhluk dan waktu-waktu. Sebagaimana  yang dinyatakan oleh Allah Taala di dalam al-Quran:
وَالْفَجْرِ (1) وَلَيَالٍ عَشْرٍ (2)
            Maksudnya:
            Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).         (al-Fajr:1-2).
Iaitu 10 hari bulan Zulhijjah sebagaimana yang dinyatakan oleh ulama tafsir.

Kedua:
Daripada Ibnu Abbas RA katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْء
            Maksudnya:
            “Tiada mana-mana hari yang amal sholeh padanya lebih disukai oleh Allah selain   daripada hari-hari ini iaitu yang sepuluh hari ini.” Para sahabat bertanya: Wahai    Rasulullah, walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah SAW bersabda: “Walaupun         berjihad di jalan Allah, melainkan seseorang itu yang keluar (pada jalan Allah)        membawa diri serta hartanya dan ia tidak kembali lagi selepas itu (mati syahid).            (Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim).

            Manakala dalam riwayat yang lain: Daripada Ibnu Umar RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda,
مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
Maksudnya:
“Tiada mana hari-hari yang lebih agung di sisi Allah dan tiada yang lebih disukaiNya beramal padnya daripada hari-hari yang sepuluh ini, oleh itu perbanyakkan padanya tahlil, takbir dan tahmid (Ahmad, Syeikh Ahmad Syakir menshahihkan isnadnya).

Ketiga:
Antara keistimewaannya, boleh dikatakan semua ibadat terhimpun pada hari-hari tersebut manakala pada masa lain ibadat ini tiada terhimpun padanya. Padanya ada sembahyang, sedekah, puasa bagi yang ingin berpuasa padanya, korban, haji di Mekah, talbiyyah dan doa yang menunjukkan ketauhidan kepada Allah. Ibadat-ibadat yang terdapat ini merupakan ibadat yang ada kemuliaannya tersendiri yang tiada pada ibadat lain.

Keempat:
Padanya ada hari Arafah iaitu hari yang kesembilan daripada bulan Zulhijjah. Hari keampunan, taubat, kemaafan, pembebasan dari neraka dan kebanggaan dengan orang yang berada di Arafah. Daripada Aisyah RA katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
           Maksudnya:
            “Tiada mana hari-hari yang lebih ramai Allah memerdekakan hambaNya dari neraka            berbanding hari Arafah. (Muslim)

            Dalam riwayat yang lain, ada dinyatakan: Daripada Ibnu Jabir RA, daripada Nabi SAW, bahawa baginda bersabda:
مَا مِنْ يوْمٍ أَفْضَلُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ يوْمِ عَرَفَةَ يَنْزِلُ اللَّهُ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيُبَاهِي بِأَهْلِ الْأَرْضِ أَهْلَ السَّمَاءِ
            Maksudnya:
            “Tiada mana hari-hari yang lebih istimewa di sisi Allah berbanding dengan hari Arafah,        Ia menurukan rahmatNya ke langit dunia lalu Ia membanggakan penduduk bumi           terhadap penduduk langit . (Ibnu Hibban)

           Ada dalam juga riwayat yang lain,daripada Abu Hurairah RA katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ يُبَاهِي بِأَهْلِ عَرَفَاتٍ مَلَائِكَةَ أَهْلِ السَّمَاءِ، فَيَقُولُ: انْظُرُوا إِلَى عِبَادِي هَؤُلَاءِ جَاءُونِي شُعْثًا غُبْرًا
           Maksudnya:
           “Apabila hari Arafah, Allah SWT berbangga dengan ahli Arafat (mereka yang berada di        padang Arafah kerana menunaikan ibadat Haji) terhadap para malaikat penduduk            langit lalu berkata: Lihatlah kepada hamba-hambaKu, mereka datang kepadaKu dalam             keadaan kusut-masai. (Ibnu Hibban)

Kelima:  
Di antara keistimewaannya iaitu terdapat padanya hari nahar, hari yang kesepuluh Zulhijjah yang merupakan hari teristimewa sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis:
أَفْضَلُ الْأَيَّامِ يَوْمُ النَّحْرِ
            Maksudnya:
            Seafdhal-afdhal hari ialah hari Nahar (sepuluh Zulhijjah) (Ahmad dan Abu Daud).
           
            Hari Nahar adalah hari yang agung bagi Jemaah haji, mereka mengerjakan melontar jumrah Aqabah, bercukur, sembelih hadiah, tawaf, saie, sembahyang raya dan sembelih korban.


KEADAAN ORANG-ORANG TERDAHULU DENGAN 10 HARI

Orang-orang terdahulu di kalangan orang-orang sholeh, mereka mengagong-agongkan hari-hari ini dan mereka merebut peluang ini dengan kesungguhan yang luar biasa. Kata Othman al-Hindi sebagaimana dalam Lataif al-Ma’arif: Orang-orang terdahulu di kalangan orang-orang sholeh mereka mengagongkan tiga yang sepuluh iaitu 10 hari yang terakhir dalam bulan Ramadhan, 10 hari yang pertama dalam bulan Zulhijjah dan 10 hari yang pertama dalam bulan Muharram.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA katanya:
كَانَ يُقَالُ فِي أَيَّامِ الْعَشْرِ: «كُلُّ يَوْمٍ أَلْفُ يَوْمٍ وَيَوْمُ عَرَفَةَ عَشَرَةُ آلَافٍ» قَالَ: يَعْنِي فِي الْفَضْلِ
            Maksudnya:
            Dikatakan berkenaan 10 hari tersebut: Setiap hari adalah 1000 hari dan hari Arafah             (10 Zulhijjah) adalah 10 ribu hari. Ianya berkenaan keistimewaan. (al-Baihaqi:Fadhailul             Auqat).

Diriwayatkan daripada al-Auza’i katanya:
بَلَغَنِي أَنَّ الْعَمَلَ فِي الْيَوْمِ مِنْ أَيَّامِ الْعَشْرِ كَقَدْرِ غَزْوَةٍ فِي سَبِيلِ اللهِ، يُصَامُ نَهَارُهَا وَيُحْرَسُ لَيْلُهَا إِلَّا أَنْ يُخْتَصَّ امُرُؤٌ بِشَهَادَةٍ
            Maksudnya:
            Telah sampai kepadaku bahawa sesungguhnya amalan satu hari pada hari-hari yang          sepuluh itu ianya seumpama perang pada jalan Allah, puasa pada siang harinya dan     berjaga pada malamnya melainkan seseorang dikhususkan mati syahid. (al-Baihaqi:        Syu’abul iman).

            Wahai yang dikurniakan kemampuan bersaing pada musim ini! Wahai yang dikurniakan peluang ini! Rebutlah untuk melakukan kebaikan-kebaikan. Wahai hamba-hamba Allah! segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi. Janganlah kamu ketinggalan untuk mendapatkannya, jangan diturut keinginan dan kemalasan kamu.

ANTARA AMALAN-AMALAN PADA 10 HARI PERTAMA DI BULAN ZULHIJJAH
1-Haji:
Amalan-amalan sholeh yang disyariatkan pada 10 hari ini ialah menunaikan manasik haji yang diwajibkan oleh Allah SWT iaitu ke atas setiap orang Islam yang berkemampuan dan menepati syarat-syarat kewajipannya.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ مِن ذُنُوبِهِ كَيَوْمَ وَلَدَتْهُ أمهُ
            Maksudnya:
            Sesiapa menunaikan haji di Baitullah sedangkan dia tidak melakukan rafas (perkara           berkait dengan hubungan jenis) dan tidak melakukan fusuk (kejahatan dan maksiat)             maka kembali dosa-dosanya seperti hari yang ia dilahirkan oleh ibunya.(Muttafakun             alaihi).

Baginda juga ada bersabda:
 تَابِعُوا بَيْنَ الحَجِّ وَالعُمْرَةِ، فَإِنَّهُمَا يَنْفِيَانِ الفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِي الكِيرُ خَبَثَ الحَدِيدِ، وَالذَّهَبِ، وَالفِضَّةِ، وَلَيْسَ لِلْحَجَّةِ الْمَبْرُورَةِ ثَوَابٌ إِلاَّ الجَنَّةُ.
            Maksudnya:
            Turutkanlah antara haji dengan umrah, kerana keduanya menghapuskan kemiskinan          dan dosa-dosa sebagaimana tungku pembakaran menghapuskan karat pada besi,        emas, dan perak. Manakala haji yang mabrur ganjaran tidak lain melainkan syurga. (        Tarmizi dan Nasa’i)

2-Puasa:
Sunat perbanyakkan puasa pada hari-hari yang sepuluh ini. Puasa pada sembilan hari itu tersebut termasuk dalam amalan sholeh yang disyariatkan. Sabda Rasulullah SAW:
مَا مِنْ عَبْدٍ يَصُومُ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلَّا بَاعَدَ اللهُ، بِذَلِكَ الْيَوْمِ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا
            Maksudnya:
            Tiada di kalangan hamba yang berpuasa satu hari pada jalan Allah melainkan        dijauhkan mukanya oleh Allah pada hari tersebut dari neraka sejauh 70 tahun. (al-       Bukhari dan Muslim).

            Semakin bertambah ganjaran pahala puasa apabila terjadi pada hari-hari yang penuh berkat ini. Kata al-Nawawi: Bukan puasa pada hari yang sembilan iaitu pada sembilan Zulhijjah sebagai sangat makruh  tetapi ia sangat disunatkan (Syarah Shahih Muslim).

Puasa pada hari Arafah dapat menghapuskan dosa dua tahun, sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW:
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ...
            Maksudnya:
            Puasa pada hari Arafah dengan ikhlas kerana Allah, ia dapat menghapuskan dosa setahun yang telah lalu dan setahun akan datang. (Muslim).

            Ia bermaksud dosa-dosa kecil sebagaimana yang telah lalu keterangannya, seumpama ini juga berkenaan penghapusan dosa dengan wuduk dan kami telah sebutkan di sana jika tiada dosa-dosa kecil maka diharapkan dapat meringan dosa-dosa besar dan jika tiada dosa besar diharapkan dapat ketinggian darjat. (Syarah Muslim).

3-al-Quran:
Bermuamalah dengan al-Quran merupakan perniagaan yang sesekali tidak merugikan, oleh berusahalah untuk mengkhatamkannya dalam sepuluh hari ini bagi yang berkemampuan berbuat demikian.
أَفَلَا يَغْدُو أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَيَعْلَمُ، أَوْ يَقْرَأُ آيَتَيْنِ مِنْ كِتَابِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، خَيْرٌ لَهُ مِنْ نَاقَتَيْنِ، وَثَلَاثٌ خَيْرٌ لَهُ مِنْ ثَلَاثٍ، وَأَرْبَعٌ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَرْبَعٍ، وَمِنْ أَعْدَادِهِنَّ مِنَ الْإِبِلِ
             Maksudnya:
            Apakah tiada seseorang dikalangan kamu ke masjid lalu ia belajar atau membaca dua        ayat dari kitab Allah, ia lebih baik daripada dua ekor anak unta betina, atau tiga ayat ia             lebih baik daripada tiga ekor anak unta atau empat ayat ia lebih baik daripada  empat          ekor anak unta dan begitulah seterusnya dinilai bilangannya daripada unta (satu ayat          yang dibaca lebih baik seekor anak unta). (Muslim). 

            Ketahuilah wahai saudaraku       seIslam, anda tidak sesekali akan dapat mendekatkan diri kepada Allah seumpama kitabNya dengan membaca, bertadabbur dan berhakim.

4-Sembahyang:
Sabda Rasulullah SAW:
الصَّلَاةُ خَيْرُ مَوْضُوعٍ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ أَنْ يَسْتَكْثِرَ فَلْيَسْتَكْثِرَ
            Maksudnya:
            Sembahyang merupakan sebaik-baik perkara, sesiapa yang mampu  membanyakkannya hendaklah ia memperbanyakkannya. (Jamik al-Shahih)

Juga baginda SAW ada bersabda:
مَا عَمِلَ ابْنُ آدَمَ شَيْئًا أَفْضَلَ مِنَ الصَّلَاةِ، وَصَلَاحِ ذَاتِ الْبَيِّنِ، وَخُلُقٍ حَسَنٍ
            Maksudnya:
            Tiada suatu amalan anak Adam yang teristimewa daripada sembahyang, membaikkan       dua jiwa yang bermusuhan dan baik akhlak. (Jamik al-Shahih).

            Oleh itu, wahai saudaraku, jangan anda lupa membina istana dalam syurga dengan melaksanakan 12 rakaat sembahyang sunat selain daripada yang fardhu, sembahyang sunat Dhuha dua rakaat atau lebih dan qiyamullail. Sabda Rasulullah SAW:
ثَلاثَةٌ يُحِبُّهُمْ اللهُ، وَيَضْحَكُ إِلَيهِمْ، وَيَسْتَبشِرُ بِهمُ... والَّذِي لَهُ امْرَأَةٌ حسنةٌ، وَفِراشٌ ليِّنٌ حَسنٌ، فَيَقُومُ مِنَ اللّيْلِ فَيقُولُ: يَذَرُ شَهْوَتَهُ وَيَذْكُرُني، وَلَوْ شاءَ رَقَدَ
            Maksudnya:
            Tiga golongan yang disukai oleh Allah, yang Ia tersenyum kepada mereka dan yang Ia                                   bergembira dengan mereka…di antaranya dinyatakan ialah orang yang  beristeri baik,                                 menidurinya dengan baik dan ia berqiyamullail. Lalu Allah SWT berfirman: Dia meninggalkan                             syahwatnya,  dia mengingatiKu dan kalau dia hendak nescaya dia tidur.        (at-Tabrani).

            Memelihara sembahyang-sembahyang sunat merupakan satu daripada sebab-sebab yang mendapat kasih sayang Allah SWT. Orang yang mendapat kasih sayang Allah, dia pasti terpelihara, permintaannya ditunaikan, mendapat perlindungan dan ditinggikan kedudukannya kerana ia menyempurnakan yang kurang, menguatkan yang retak dan menutup yang cacat.    

5-Zikir:
Zikir adalah ungkapan yang sangat disuka oleh Allah, ia sebagai sebab mendapat keselamatan di dunia dan akhirat, mendapat kejayaan, sebutan di sisi Allah, mendapat rahmat Allah dan didoakan oleh para malaikat. Ia adalah senjata yang sangat ampuh. Ia sebaik-baik amalan, sebaik-baik penyuci dan meninggikan darjat. Ia lebih baik dari nafqah, dengannya digandakan ganjaran oleh Allah, keampunan dosa dan pemberat timbangan mizan.
Firman Allah SWT:
لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ     
            Maksudnya:
            Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada            mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu,    kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk     dijadikan korban).

            Ada diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ، فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنَ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
            Maksudnya:
            Tiada mana-mana hari yang agung di sisi Allah dan tiada yang lebih disukai           kepadaNya                      daripada beramal padanya dari hari-hari yang sepuluh ini oleh          perbanyakan tahlil, takbir dan                   tahmid.

            Abu Hurairah RA dan Ibnu Umar RA apabila masuk sepuluh hari di bulan Zulhijjah, mereka berdua akan ke pasar, mereka bertakbir lalu diikuti orang ramai bertakbir bersama mereka. (al-Bukhari).

            Waktu takbir sebagaimana yang diperkatakan di kalangan ahli ilmu, ada dua jenis iaitu mutlak dan muqaiyad. Waktu takbir mutlak ialah sepanjang masa bermula maghrib malam ke sepuluh Zulhijjah hingga imam mula sembahyang raya. Manakala takbir muqaiyad pula ialah bermula pada Shubuh pada hari yang ke sembilan Zulhijjah hingga selesai sembahyang Ashar hari yang ketiga belas Zulhijjah. Takbir muqaiyad ini dilakukan mengiringi setiap kali  selesai sembahyang sama ada sembahyang fardhu atau pun sembahyang sunat, sama ada lelaki ataupun wanita dan sama ada kecil ataupun dewasa.
            Takbir muqaiyad ini ada dinyatakan oleh Saidina Ali dan Ibnu Abbas RA, bahawa ianya bermula dari Shubuh hari Arafah hingga Ashar hari Tasyrik yang terakhir iaitu tiga belas hari bulan Zulhijjah. Manakala bagi Jemaah haji, mereka mula bertakbir setelah melontar jumrah Aqabah hari yang kesepuluh Zulhijjah.
Bentuk lafaz takbir ialah:
 اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ (3x)
اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَلَا نَعْبُدُ إِلَّا إِيَّاهُ، مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ -اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ (al-Umm)

6-Sedekah:
Sedekah iaitu dengan  menolong orang yang memerlukan, memberi makan kepada orang yang dalam kelaparan, mengembirakan orang mukmin dengan memasukan kegembiraan dalam jiwa mereka dan menjauhkan kesedihan yang mereka alami, ianya di antara perkara yang disukai oleh Allah. Oleh itu, sedekah mendorong seseorang itu untuk mendapat kebaikan, gandaan ganjaran, perlindungan pada hari kiamat yang tiada perlindungan selainNya, membuka pintu kebaikan, menutup pintu keburukan, membuka pintu syurga, disukai oleh Allah, disukai oleh manusia, balas kasihan, membersih jiwa serta harta, diampun dosa, membebaskan diri dari kehambaan wang-ringgit, Allah memelihara  diri, harta, anak, dunia dan akhiratnya.
            Daripada Ibnu Umar RA katanya bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Siapakah orang yang disukai oleh Allah? Apakah amalan-amalan yang lebih disukai oleh Allah? Baginda SAW:
أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ، يَكْشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً، أَوْ يَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا، أَوْ يَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا
            Maksudnya:
            Orang yang paling disukai oleh Allah ialah orang yang paling bermanfaat dan (amalan         yang paling disukai iaitu) yang dapat menghapuskan kesedihan (orang lain),           menjelaskan hutang (orang lain) dan menjauhkan kelaparan (orang lain).( Tabrani)

7-Korban:
Disyariatkan korban bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan menumpahkan darah binatang korban dan mensedekahkan dagingnya kepada golongan fakir miskin. Korban termasuk dalam syiar Islam, ia melambangkan pengorbanan, penebusan, sunnah bapa para nabi iaitu Ibrahim AS, ia adalah amalan yang paling disukai oleh Allah pada hari Adil Adha. Daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى الله مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلاَفِهَا وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ الله بِمَكانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الأَرْضِ فطِيبُوا بِهَا نَفْساً
            Maksudnya:
            Tiada mana-mana amalan anak Adam pada hari Nahar (Aidil Adha) lebih disukai oleh         Allah dari menumpahkan darah (binatang korban), ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduk, bulu-bulu, dan kuku-kukunya. Darah binatang korban itu akan sampai di suatu dari Allah sebelum ia jatuh ke atas tanah oleh itu hendaklah kamu             berbuat baik dengannya (Ibnu Majah dan Tarmizi).
           
            Korban adalah sunat muakkad dan sesiapa yang berkemampuan untuk melakukannya tetapi meninggalkannya adalah makruh.
            Antara perkara yang berkait dengan korban, hendaklah binatang korban itu cukup umur. Bagi kambing cukup umurnya dua tahun sempurna, kibas umurnya cukup setahun atau bersalin gigi hadapan setelah enam bulan. Bagi unta cukup umurnya lima tahun dan bagi lembu cukup umurnya dua tahun.
            Binatang besar seperti unta, lembu dan kerbau boleh dikongsi hingga tujuh orang jika ingin berbuat demikian. Manakala bagi binatang kecil seperti kambing, biri-biri dan kibas, hanya boleh dilakukan untuk seorang sahaja bagi seekor.
            Antara syaratnya juga, hendaklah binatang tersebut tidak ada sebarang kecacatan sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis nabi SAW dan ia telah diterangkan secara terperinci oleh para ulama. Selain itu, disyaratkan sembelihan itu dilakukan pada waktu tertentu iaitu bermula selepas sembahyang Aidil Adha hingga terbenam matahari hari yang ketiga belas Zulhijjah.
            Bagi seseorang yang hendak melakukan ibadat korban, mereka dikehendaki jangan menghilangkan rambut atau bulu dan jangan memotong kuku-kukunya. Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Ummu Salamah RA, sabda Rasulullah SAW:
مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ
            Maksudnya:
            Sesiapa yang ada binatang korban yang ia hendak sembelihnya, apabila terbit anak           bulan Zulhijjah maka jangan sesekali ia memotong rambut (bulu) dan kukunya             sehingga ia menyembelih binatang korbanya.(Muslim). Larangan ini ditujukan ke atas           orang yang hendak melakukan ibadat korban dan ianya dihukumkan makruh berbuat          demikian.

8-Doa:
Daripada Abdullah bin Umar al-Khattab RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik doa adalah doa hari Arafah dan sebaik-baik apa yang aku baca dan para nabi sebelum dari aku iaitu:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
            Maksudnya:
            Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Esa, yang tiada sekutu bagiNya, bagiNya kerajaan, kepujian dan Dia Maha Kuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.    (Tarmizi)

            Kata Ibnu Abdul Bir: Mengikut ilmu fiqh, doa hari Arafah adalah doa yang paling afdhal berbanding selainnya. Dalam hadis ini juga menunjukkan bahawa doa hari Arafah mustajab kesemuanya pada kebanyakkannya. (al-Tamhid)

9-Bertaubat dan menjauhi maksiat:
Di antara perkara yang wajib dalam sepuluh hari yang pertama di bulan Zulhijjah ini serta sepanjang masa iaitu bertaubat dengan taubah nasuha. Seseorang itu perlu kembali kepada Allah SWT dengan membuang segala maksiat dan dosa. Firman Allah SWT:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا
            Maksudnya:
            Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha. (Tahrim:8)
           
            Dari itu, bersegeralah bertaubat dengan taubat yang benar iaitu meninggalkan larangan-larangan, meminta halal dari orang yang dizalimi, mengembalikan hak-hak dan menjauhi maksiat.
            Wahai saudaraku yang dirahmati oleh Allah SWT: Rebutlah peluang dalam sepuluh hari ini dengan mengerjakan segala amal sholeh, banyakan doa dan istighfar serta mendekatkan diri kepada Allah dengan sedekat-dekatnya. Semoga kita mendapat kejayaan yang besar dan moga-moga Allah jadikan kita di kalangan orang yang bersegera mendapatkan kebaikan tersebut dan di kalangan mereka yang berlumba-lumba mendapatkannya.

وصلى الله وسلم علي سيدنا محمد وعلى آله وصحبه ومن تبعه واقتفى أثره إلي يوم الدين. وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين.