Isnin, 16 April 2018

Menyambut Ramadan


Dengan apa kita menyambut Ramadan? Apakah persediaan untuk menyambut Ramadan? Dengan beli berbagai-bagai jus dan minuman? Dengan berjimat cermat dengan berbagai-bagai jenis makanan? Menyediakan dapur dan meja makan? Mengambil cuti kerja untuk tidur? Apakah ada cara-cara yang baik untuk menyambut bulan Ramadan?

Sepatutnya bagi seseorang Muslim itu,  jangan ia ketinggalan dalam merebut peluang untuk melaksanakan ketaatan pada musimnya. Hendaklah ia berlumba-lumba dan bersaing bagi mendahului yang orang lain.
Sebagaimana firman Allah SWT:
وَفِي ذَلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ
Maksudnya:
Dan untuk (memperoleh nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan; (Surah al-Mutaffifin:26)

Sabda Rasulullah SAW:
افْعَلُوا الْخَيْرَ دَهْرَكُمْ، وَتَعَرَّضُوا لِنَفَحَاتِ رَحْمَةِ اللهِ، فَإِنَّ لِلَّهِ نَفَحَاتٍ مِنْ رَحْمَتِهِ يُصِيبُ بِهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ، وَسَلُوا اللهَ أَنْ يَسْتُرَ عَوْرَاتِكُمْ، وَأَنْ يُؤَمِّنَ رَوْعَاتِكُمْ
Maksudnya:
Kamu semua buatlah kebaikan sepanjang masa
(Al-Mu’jam al-Kabir: al-Tabrani)


Menyambut Ramadan Dengan Perkara Berikut:
Pertama: Berdoa agar dapat berada dalam bulan Ramadan.
Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ الدُّعَاءَ هُوَ الْعِبَادَةُ
Sesungguhnya doa itu adalah ibadat. (al-Baihaqi: Syu’abul Iman)

Orang-orang terdahulu di kalangan orang soleh, mereka berdoa kepada Allah SWT agar mereka disampaikan kepada Ramadan setelah itu mereka berdoa agar amalan mereka diterima oleh Allah. Oleh itu, apabila tiba bulan Ramadan dan nampak anak bulan, hendaklah anda baca sebagaimana yang dibaca oleh Rasulullah SAW iaitu:
اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ
Maksudnya:
Ya Allah, munculkanlah anak bulan kepada kami dengan kebaikan, iman, keselamatan dan Islam. Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah.(Musnad Abi Yakla)

Kedua: Memuji dan bersyukur kepada Allah atas kedatangan Ramadan.
Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam kitab al-Azkar: Ketahuilah bahawa sesungguhnya, disunatkan bagi sesiapa yang baru mendapat nikmat secara nyata atau yang terlepas dari bala secara nyata, agar ia sujud sebagai tanda syukur kepada Allah Taala atau ia memuji dengan kebaikan yang ia dapat.
Berapa ramai yang sembahyang di sebelah kita ketika bertarawih pada tahun yang lalu, sekarang ia terbaring di dalam tanah menantikan doa kebaikan untuknya. Jikalau kita tanya mereka inginkan? Semestinya mereka katakan, inginkan satu masa di bulan Ramadan, oleh itu bagaimana pula dengan anda berbandingan mereka?

Ketiga: Keriangan serta gembira
Telah dinyatakan dari Rasulullah SAW bahawa baginda menghebahkan kepada para sahabatnya dengan gembira berita kedatangan bulan Ramadan. Baginda bersabda:
قَدْ جَاءَكُمْ رَمَضَانُ، شَهْرٌ مُبَارَكٌ، افْتَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ، تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ...
Maksudnya:
Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, bulan penuh berkat, difardukan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka Jahim… (Musnad Ahmad).

Begitulah keadaan orang terdahulu daripada kita dari kalangan para sahabat dan orang yang mengikut mereka dengan baik, mereka sangat mengambil berat dengan bulan Ramadan dan mereka gembira dengan kedatangannya. Manakah kegembiraan yang lebih besar dari berita hampir kedatangan bulan Ramadan? Sedangkan ia merupakan musim yang penuh dengan kebaikan dan rahmat. Bayangkanlah, ada tetamu anda yang dimuliakan, anda telah lama tidak berjumpa dengannya sejak setahun yang lalu, tiba-tiba ia datang berjumpa dengan anda. Apakah anda akan lakukan terhadapnya? Begitu juga lah tetamu anda bernama Ramadan, ia datang kepada anda. Bagaimana anda menyambutnya dengan amal soleh?

Keempat: Tanamkan azam yang benar untuk merebut serta mengimarahkan setiap masanya dengan amal soleh.
Sesiapa yang benar kerana Allah, Dia pasti menolong dan membantunya untuk melakukan ketaatan dan memudahkan untuknya jalan-jalan kebaikan.
Firman Allah SWT:
فَلَوْ صَدَقُوا اللَّهَ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ
Maksudnya:
Maka kalaulah mereka bersifat jujur kepada Allah (dengan mematuhi perintahNya), tentulah yang demikian itu amat baik bagi mereka. (Muhammad:21).

Perhatikanlah para sahabat yang ikat perjanjian dengan Nabi SAW agar mendapat bahagian dalam perkara ini lalu diberi bahagian itu oleh Allah SWT kerana mereka jujur terhadap Allah. Bagaimana pula dengan anda terhadap Allah?

Kelima: Mempelajari ilmu dan berusaha memahami hukum-hukum berkait dengan Ramadan.
Diwajibkan berilmu ke atas setiap orang mukmin dalam beribadat kepada Allah SWT, tidak boleh seseorang itu berada dalam keadaan jahil terhadap fardu-fardu yang difardukan oleh Allah SWT. Demikian juga dengan puasa Ramadan, seseorang Muslim itu perlu mempelajari masalah-masalah dan hukum-hukumnya sebelum tiba masanya, agar puasa yang dilakukan itu betul serta diterima oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya:
Maka bertanyalah kamu kepada “Ahluz Zikri” jika kamu tidak mengetahui. (Al-Ambiyak:7).

Jangan anda lupa bahawa manusia itu ada tiga golongan iaitu orang alim, penuntut dan yang binasa. Oleh itu, di manakah kedudukan anda daripada golongan tersebut?

Keenam: Azam meninggalkan dosa, kejahatan, taubat yang benar dari semua dosa, tanggalkan ia daripadanya serta tidak kembali melakukannya semula.
Ramadan adalah bulan taubat, sesiapa yang tidak bertaubat padanya bila lagi ia akan bertaubat? Firman Allah:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya:
Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (An-Nuur:31)

Ketujuh: Melakukan persediaan sebaik mungkin untuk berdakwah kepada Allah SWT di bulan ini, antaranya:

1-Sampaikan beberapa patah perkataan atau panduan dengan persediaan yang baik untuk disampaikan kepada para jemaah di masjid atau di tempat kerja. Jadilah diri anda sebagai seorang menyeru kepada Allah secara berilmu dan bukan sebagai seorang yang menyampaikan dengan keadaan jahil.

2- Edarkan buku-buku kecil, risalah-risalah ringkas, risalah-risalah fikah berkait dengan Ramadan kepada para jemaah yang hadir sembahyang dan juga masyarakat setempat.

3-Sediakan (sebagai hadiah bulan Ramadan), jika mampu gunakan sampul surat dan letakkan dalam sampul itu kesat-kesat ceramah atau buku-buku kecil dan tuliskan pada sampul itu “Hadiah Ramadan”.

4-Berikan tazkirah kepada fakir dan miskin dan hulurkan sumbangan untuk mereka sama ada hadiah, sedekah atau zakat.

Kelapan: Memulakan Ramadan dengan buku catatan peribadi yang bersih lagi mulia kepada Allah SWT dengan taubat yang benar.
Anda boleh perhatikannya melalui beberapa ayat al-Quran berikut ini: firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya:
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri. Al-Baqarah:222

Serta firman Allah SWT:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ
Maksudnya:
 “Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai”. Tahrim:8.

Juga dalam firman Allah SWT:
إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِنْ قَرِيبٍ فَأُولَئِكَ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Maksudnya:
 “Sesungguhnya penerimaan taubat itu di sanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. An-Nisak”17.

Dan juga melalui firman Allah SWT:
وَاللَّهُ يُرِيدُ أَنْ يَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَيُرِيدُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الشَّهَوَاتِ أَنْ تَمِيلُوا مَيْلًا عَظِيمًا
Maksudnya:
 “Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya”. An-Nisak:27.

Dalam melakukan lambaran baru bulan Ramadan ini, bolehlah anda memerhatikan beberapa hadis ini dan turut serta bersama dengan hamba-hamba Allah yang lain.

a-Daripada Qatadah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
إِنِّي لَأَتُوبُ فِي الْيَوْمِ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya:
Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari 70 kali. (Sunan al-Kubra  Lin Nasa’i)

Dan juga melalui sabda Rasulullah SAW:
مَنْ قَالَ:أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ، وَأَتُوبُ إِلَيْهِ ثَلَاثًا، غُفِرَتْ لَهُ ذُنُوبُهُ، وَإِنْ كَانَ فَارًّا مِنَ الزَّحْفِ
Maksudnya:
Sesiapa yang mengungkapkan:
أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ
Sebanyak tiga kali maka pasti diampunkan dosa-dosanya walaupun seumpama dosa orang yang lari dari medan perang. ( al-Mustadrik ala as-Shahihain  lil Hakim).

b-Mulakan lambaran baru bersama Rasulullah SAW dengan melaksanakan ketaatan baginda sebagaimana  yang diperintahkan serta meninggalkan apa yang dilarang sama sekali.

c- Memulakan lambaran baru bersama ibu bapa, kaum kerabat, yang ada hubungan rahim, isteri, anak pinak dengan kebajikan dan hubungan.

d-Memulakan lambaran baru bersama masyarakat sekitar sehingga menjadi sebagai hamba yang soleh dan bermanfaat. Sabda Rasulullah SAW:
خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
Maksudnya:
Sebaik-baik manusia ialah orang yang lebih memberikan manfaat terhadap manusia. (Musnad as-Syihab al-Qadhāī)

Kesembilan: Puasa dengan penuh keikhlasan kerana Allah.
Firman Allah SWT:
فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا
Maksudnya:
Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya". Al-Kahfi:110.

Dari maksud ayat di atas, ikhlas adalah roh kepada ketaatan dan kunci kepada penerimaan Allah ialah tiada sebarang kesyirikan dalam mengerjakan amal soleh. Ikhlas juga merupakan antara sebab seseorang itu mendapat pertolongan dan taufiqNya. Kekuatan niat, ikhlas, benar terhadap Allah SWT serta keinginan kebaikan merupakan pertolongan Allah kepada hambanya yang mukmin.


Kesepuluh: Berlapang dada terhadap sesama orang Islam.
Hendaklah jangan ada di antara anda dan orang Muslim yang lain permusuhan serta benci-membenci sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى خَلْقِهِ لَيْلَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ؛ إِلَّا مُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya:
Allah SWT menilik kepada semua makhluknya pada malam nisfu Syaaban lalu diampunkan untuk mereka semua kecuali orang yang musyrik atau orang yang bermusuhan. (As-Sunah Ibn Abi Ashim).

Kesebelas: Ambil berat terhadap kewajipan-kewajipan yang diwajibkan seperti sembahyang Subuh berjemaah dan juga kewajipan lain agar tidak berkurangan ganjaran pahala di bulan Ramadan dan berusahalah dengan kesungguhan agar mendapat ganjaran pahala dari kewajipan yang dilaksanakan sekuat kemampuan.

Kedua belas: Membiasakan diri dengan melakukan sembahyang malam, berdoa, dan membaca Al-Quran secara rutin setiap hari agar kita tidak menjadi lemah pada pertengahan bulan Ramadan. Sebagai tambahan lagi, peruntukan waktu-waktu tertentu untuk al-Quran sama ada selepas sembahyang lima waktu atau sebelumnya, atau pilih waktu di antara sembahyang Maghrib dan Isyak, atau pada waktu yang lain daripada itu sejak dari bulan Syaaban lagi, bulan Ramadan dan setelah Ramadan dengan izin Allah SWT. Ibn Abbas RA berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدُ بِالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ
Maksudnya:
“Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang sangat pemurah dan suka melakukan kebaikan. Kemurahan baginda semakin bertambah di bulan Ramadhan ketika bertemu dengan Jibril. Baginda didatangi Jibril pada setiap malam di bulan Ramadhan untuk bertadarus al-Quran. Keadaan Rasulullah SAW ketika bertemu Jibrail adalah sangat pemurah dalam melakukan kebajikan, iaitu lebih cepat daripada angin yang bertiup kencang”. (al-Bukhari & Muslim).

Ketiga belas: Bermuhasabah diri atas kecuaian yang dilakukan dalam membenarkan dua kalimah syahadah atau kecuaian dalam melakukan kewajipan begitu juga kecuaian dalam tidak meninggalkan apa yang diingini syahwat dan subahat. Dari situ, anda boleh membaiki kekurangan dalam menjalani ibadat di bulan Ramadan dengan keimanan yang tinggi. Iman itu bertambah dan berkurang. Ia bertambah dengan sebab ketaatan dan berkurang dengan sebab maksiat. Ia boleh bertambah membesar bagaikan gunung dan boleh berkurang sehingga tiada tinggal sesuatu apa pun (Ibnu Uyainah).

Keempat belas: Hati hendaklah sejahtera daripada syirik, kekufuran, bidaah dan inginkan yang berkualiti.
Firman Allah SWT:
يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (88) إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
Maksudnya:
 "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun, kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); (Al-Syu’arak:88-89).

Dan firman Allah SWT:
وَإِنَّ مِنْ شِيعَتِهِ لَإِبْرَاهِيمَ (83) إِذْ جَاءَ رَبَّهُ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (84)
Maksudnya:
Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim, ketika ia mematuhi perintah Tuhannya dengan hati yang suci murni. Al-Shaffat:83-84.

Kelima belas: Memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa. Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ، إِلَّا أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ
Maksudnya:
Sesiapa yang memberi makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dituliskan untuknya ganjaran seumpamanya tanpa mengurang pahala orang yang berpuasa. (Sunan al-Darimi).
Dalam masa yang sama jangan anda melupakan orang-orang fakir miskin apabila melakukan amalan-amalan yang disukai oleh Allah iaitu dengan memasukkan kegembiraan dalam hati orang Islam. Tidak diragukan lagi, bahawa menggembirakan orang-orang fakir miskin di bulan Ramadan merupakan amalan yang disukai oleh Allah SWT.


Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang diberikan hidayah untuk beramal dengannya.

Tiada ulasan: