Dengan apa kita menyambut Ramadan? Apakah
persediaan untuk menyambut Ramadan? Dengan beli berbagai-bagai jus dan minuman?
Dengan berjimat cermat dengan berbagai-bagai jenis makanan? Menyediakan dapur
dan meja makan? Mengambil cuti kerja untuk tidur? Apakah ada cara-cara yang
baik untuk menyambut bulan Ramadan?
Sepatutnya bagi seseorang Muslim
itu, jangan ia ketinggalan dalam merebut
peluang untuk melaksanakan ketaatan pada musimnya. Hendaklah ia berlumba-lumba dan
bersaing bagi mendahului yang orang lain.
Sebagaimana firman Allah SWT:
وَفِي ذَلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ
الْمُتَنَافِسُونَ
Maksudnya:
Dan untuk (memperoleh nikmat
kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan
dan kesenangan; (Surah al-Mutaffifin:26)
Sabda Rasulullah SAW:
افْعَلُوا الْخَيْرَ دَهْرَكُمْ، وَتَعَرَّضُوا
لِنَفَحَاتِ رَحْمَةِ اللهِ، فَإِنَّ لِلَّهِ نَفَحَاتٍ مِنْ رَحْمَتِهِ يُصِيبُ
بِهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ، وَسَلُوا اللهَ أَنْ يَسْتُرَ عَوْرَاتِكُمْ،
وَأَنْ يُؤَمِّنَ رَوْعَاتِكُمْ
Maksudnya:
Kamu semua buatlah kebaikan
sepanjang masa
(Al-Mu’jam
al-Kabir: al-Tabrani)
Menyambut Ramadan Dengan Perkara
Berikut:
Pertama:
Berdoa agar dapat berada dalam bulan Ramadan.
Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ الدُّعَاءَ هُوَ الْعِبَادَةُ
Sesungguhnya doa itu adalah ibadat.
(al-Baihaqi: Syu’abul Iman)
Orang-orang terdahulu di kalangan
orang soleh, mereka berdoa kepada Allah SWT agar mereka disampaikan kepada
Ramadan setelah itu mereka berdoa agar amalan mereka diterima oleh Allah. Oleh
itu, apabila tiba bulan Ramadan dan nampak anak bulan, hendaklah anda baca
sebagaimana yang dibaca oleh Rasulullah SAW iaitu:
اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ
وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ
Maksudnya:
Ya
Allah, munculkanlah anak bulan kepada kami dengan kebaikan, iman, keselamatan
dan Islam. Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah.(Musnad Abi Yakla)
Kedua: Memuji dan bersyukur kepada Allah atas kedatangan
Ramadan.
Kata
Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam kitab al-Azkar: Ketahuilah bahawa
sesungguhnya, disunatkan bagi sesiapa yang baru mendapat nikmat secara nyata
atau yang terlepas dari bala secara nyata, agar ia sujud sebagai tanda syukur
kepada Allah Taala atau ia memuji dengan kebaikan yang ia dapat.
Berapa
ramai yang sembahyang di sebelah kita ketika bertarawih pada tahun yang lalu,
sekarang ia terbaring di dalam tanah menantikan doa kebaikan untuknya. Jikalau
kita tanya mereka inginkan? Semestinya mereka katakan, inginkan satu masa di
bulan Ramadan, oleh itu bagaimana pula dengan anda berbandingan mereka?
Ketiga: Keriangan serta gembira
Telah
dinyatakan dari Rasulullah SAW bahawa baginda menghebahkan kepada para
sahabatnya dengan gembira berita kedatangan bulan Ramadan. Baginda bersabda:
قَدْ جَاءَكُمْ رَمَضَانُ، شَهْرٌ مُبَارَكٌ، افْتَرَضَ
اللَّهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ، تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَتُغْلَقُ
فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ...
Maksudnya:
Telah
tiba kepada kamu bulan Ramadan, bulan penuh berkat, difardukan ke atas kamu
berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka Jahim…
(Musnad Ahmad).
Begitulah
keadaan orang terdahulu daripada kita dari kalangan para sahabat dan orang yang
mengikut mereka dengan baik, mereka sangat mengambil berat dengan bulan Ramadan
dan mereka gembira dengan kedatangannya. Manakah kegembiraan yang lebih besar
dari berita hampir kedatangan bulan Ramadan? Sedangkan ia merupakan musim yang
penuh dengan kebaikan dan rahmat. Bayangkanlah, ada tetamu anda yang dimuliakan,
anda telah lama tidak berjumpa dengannya sejak setahun yang lalu, tiba-tiba ia
datang berjumpa dengan anda. Apakah anda akan lakukan terhadapnya? Begitu juga
lah tetamu anda bernama Ramadan, ia datang kepada anda. Bagaimana anda
menyambutnya dengan amal soleh?
Keempat: Tanamkan azam yang benar untuk merebut
serta mengimarahkan setiap masanya dengan amal soleh.
Sesiapa yang benar kerana Allah, Dia
pasti menolong dan membantunya untuk melakukan ketaatan dan memudahkan untuknya
jalan-jalan kebaikan.
Firman Allah SWT:
فَلَوْ صَدَقُوا اللَّهَ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ
Maksudnya:
Maka kalaulah mereka bersifat jujur
kepada Allah (dengan mematuhi perintahNya), tentulah yang demikian itu amat
baik bagi mereka. (Muhammad:21).
Perhatikanlah para sahabat yang ikat
perjanjian dengan Nabi SAW agar mendapat bahagian dalam perkara ini lalu diberi
bahagian itu oleh Allah SWT kerana mereka jujur terhadap Allah. Bagaimana pula dengan
anda terhadap Allah?
Kelima: Mempelajari ilmu dan berusaha memahami
hukum-hukum berkait dengan Ramadan.
Diwajibkan
berilmu ke atas setiap orang mukmin dalam beribadat kepada Allah SWT, tidak
boleh seseorang itu berada dalam keadaan jahil terhadap fardu-fardu yang
difardukan oleh Allah SWT. Demikian juga dengan puasa Ramadan, seseorang Muslim
itu perlu mempelajari masalah-masalah dan hukum-hukumnya sebelum tiba masanya,
agar puasa yang dilakukan itu betul serta diterima oleh Allah SWT.
Firman Allah
SWT:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ
لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya:
Maka
bertanyalah kamu kepada “Ahluz Zikri” jika kamu tidak mengetahui.
(Al-Ambiyak:7).
Jangan
anda lupa bahawa manusia itu ada tiga golongan iaitu orang alim, penuntut dan
yang binasa. Oleh itu, di manakah kedudukan anda daripada golongan tersebut?
Keenam: Azam meninggalkan dosa, kejahatan, taubat yang
benar dari semua dosa, tanggalkan ia daripadanya serta tidak kembali
melakukannya semula.
Ramadan
adalah bulan taubat, sesiapa yang tidak bertaubat padanya bila lagi ia akan
bertaubat? Firman Allah:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ
الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya:
Dan
bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya
kamu berjaya. (An-Nuur:31)
Ketujuh: Melakukan
persediaan sebaik mungkin untuk berdakwah kepada Allah SWT di bulan ini,
antaranya:
1-Sampaikan
beberapa patah perkataan atau panduan dengan persediaan yang baik untuk
disampaikan kepada para jemaah di masjid atau di tempat kerja. Jadilah diri
anda sebagai seorang menyeru kepada Allah secara berilmu dan bukan sebagai
seorang yang menyampaikan dengan keadaan jahil.
2- Edarkan
buku-buku kecil, risalah-risalah ringkas, risalah-risalah fikah berkait dengan
Ramadan kepada para jemaah yang hadir sembahyang dan juga masyarakat setempat.
3-Sediakan
(sebagai hadiah bulan Ramadan), jika mampu gunakan sampul surat dan letakkan
dalam sampul itu kesat-kesat ceramah atau buku-buku kecil dan tuliskan pada
sampul itu “Hadiah Ramadan”.
4-Berikan
tazkirah kepada fakir dan miskin dan hulurkan sumbangan untuk mereka sama ada
hadiah, sedekah atau zakat.
Kelapan: Memulakan Ramadan dengan buku catatan
peribadi yang bersih lagi mulia kepada Allah SWT dengan taubat yang benar.
Anda boleh
perhatikannya melalui beberapa ayat al-Quran berikut ini: firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ
وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya:
Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang
sentiasa menyucikan diri. Al-Baqarah:222
Serta
firman Allah SWT:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى
اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ
سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ
يَوْمَ
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah
kamu kepada Allah dengan " taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu
akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai”. Tahrim:8.
Juga
dalam firman Allah SWT:
إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللَّهِ
لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِنْ قَرِيبٍ
فَأُولَئِكَ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Maksudnya:
“Sesungguhnya penerimaan taubat itu di sanggup
oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat)
kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu)
mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi
Maha Bijaksana. An-Nisak”17.
Dan
juga melalui firman Allah SWT:
وَاللَّهُ يُرِيدُ أَنْ يَتُوبَ عَلَيْكُمْ
وَيُرِيدُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الشَّهَوَاتِ أَنْ تَمِيلُوا مَيْلًا عَظِيمًا
Maksudnya:
“Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa
dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut
keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu
supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar
bahayanya”. An-Nisak:27.
Dalam
melakukan lambaran baru bulan Ramadan ini, bolehlah anda memerhatikan beberapa
hadis ini dan turut serta bersama dengan hamba-hamba Allah yang lain.
a-Daripada Qatadah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
إِنِّي لَأَتُوبُ فِي الْيَوْمِ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya:
Sesungguhnya
aku bertaubat dalam sehari 70 kali. (Sunan al-Kubra Lin Nasa’i)
Dan juga melalui sabda Rasulullah
SAW:
مَنْ قَالَ:أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا
إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ، وَأَتُوبُ إِلَيْهِ ثَلَاثًا، غُفِرَتْ
لَهُ ذُنُوبُهُ، وَإِنْ كَانَ فَارًّا مِنَ الزَّحْفِ
Maksudnya:
Sesiapa yang mengungkapkan:
أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ
إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ
Sebanyak tiga kali maka pasti
diampunkan dosa-dosanya walaupun seumpama dosa orang yang lari dari medan
perang. ( al-Mustadrik ala as-Shahihain lil Hakim).
b-Mulakan lambaran baru bersama
Rasulullah SAW dengan melaksanakan ketaatan baginda sebagaimana yang diperintahkan serta meninggalkan apa yang
dilarang sama sekali.
c- Memulakan lambaran baru bersama
ibu bapa, kaum kerabat, yang ada hubungan rahim, isteri, anak pinak dengan
kebajikan dan hubungan.
d-Memulakan lambaran baru bersama
masyarakat sekitar sehingga menjadi sebagai hamba yang soleh dan bermanfaat.
Sabda Rasulullah SAW:
خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
Maksudnya:
Sebaik-baik manusia ialah orang yang
lebih memberikan manfaat terhadap manusia. (Musnad as-Syihab al-Qadhāᶜī)
Kesembilan: Puasa
dengan penuh keikhlasan kerana Allah.
Firman Allah
SWT:
فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ
فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا
Maksudnya:
Oleh
itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya,
hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan
sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya". Al-Kahfi:110.
Dari
maksud ayat di atas, ikhlas adalah roh kepada ketaatan dan kunci kepada
penerimaan Allah ialah tiada sebarang kesyirikan dalam mengerjakan amal soleh.
Ikhlas juga merupakan antara sebab seseorang itu mendapat pertolongan dan
taufiqNya. Kekuatan niat, ikhlas, benar terhadap Allah SWT serta keinginan
kebaikan merupakan pertolongan Allah kepada hambanya yang mukmin.
Kesepuluh:
Berlapang dada terhadap sesama orang Islam.
Hendaklah
jangan ada di antara anda dan orang Muslim yang lain permusuhan serta
benci-membenci sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى خَلْقِهِ لَيْلَ النِّصْفِ مِنْ
شَعْبَانَ، فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ؛ إِلَّا مُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya:
Allah SWT
menilik kepada semua makhluknya pada malam nisfu Syaaban lalu diampunkan untuk
mereka semua kecuali orang yang musyrik atau orang yang bermusuhan.
(As-Sunah Ibn Abi Ashim).
Kesebelas:
Ambil berat terhadap kewajipan-kewajipan yang diwajibkan seperti sembahyang Subuh berjemaah dan juga kewajipan lain agar tidak
berkurangan ganjaran pahala di bulan Ramadan dan berusahalah dengan kesungguhan
agar mendapat ganjaran pahala dari kewajipan yang dilaksanakan sekuat kemampuan.
Kedua belas:
Membiasakan diri dengan melakukan sembahyang malam, berdoa, dan membaca Al-Quran
secara rutin setiap hari agar kita tidak menjadi lemah pada
pertengahan bulan Ramadan. Sebagai tambahan lagi, peruntukan waktu-waktu
tertentu untuk al-Quran sama ada selepas sembahyang lima waktu atau sebelumnya,
atau pilih waktu di antara sembahyang Maghrib dan Isyak, atau pada waktu yang
lain daripada itu sejak dari bulan Syaaban lagi, bulan Ramadan dan setelah
Ramadan dengan izin Allah SWT. Ibn Abbas RA berkata:
كَانَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا
يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ
لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدُ بِالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ
Maksudnya:
“Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang sangat
pemurah dan suka melakukan kebaikan. Kemurahan baginda semakin bertambah
di bulan Ramadhan ketika bertemu dengan Jibril. Baginda didatangi Jibril pada setiap
malam di bulan Ramadhan untuk bertadarus al-Quran. Keadaan Rasulullah SAW
ketika bertemu Jibrail adalah sangat pemurah dalam melakukan kebajikan, iaitu lebih
cepat daripada angin yang bertiup kencang”. (al-Bukhari & Muslim).
Ketiga belas:
Bermuhasabah diri atas kecuaian yang dilakukan dalam membenarkan dua kalimah syahadah atau kecuaian dalam melakukan
kewajipan begitu juga kecuaian dalam tidak meninggalkan apa yang diingini
syahwat dan subahat. Dari situ, anda boleh membaiki kekurangan dalam
menjalani ibadat di bulan Ramadan dengan keimanan yang tinggi. Iman itu
bertambah dan berkurang. Ia bertambah dengan sebab ketaatan dan berkurang
dengan sebab maksiat. Ia boleh bertambah membesar bagaikan gunung dan boleh
berkurang sehingga tiada tinggal sesuatu apa pun (Ibnu Uyainah).
Keempat belas:
Hati hendaklah sejahtera daripada
syirik, kekufuran, bidaah dan inginkan yang berkualiti.
Firman Allah
SWT:
يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (88)
إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
Maksudnya:
"Hari
yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan
sesuatu apa pun, kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang
mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit
munafik); (Al-Syu’arak:88-89).
Dan
firman Allah SWT:
وَإِنَّ مِنْ شِيعَتِهِ لَإِبْرَاهِيمَ (83)
إِذْ جَاءَ رَبَّهُ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (84)
Maksudnya:
Dan
sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh)
Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim, ketika ia mematuhi perintah Tuhannya dengan hati
yang suci murni. Al-Shaffat:83-84.
Kelima
belas: Memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa.
Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كُتِبَ لَهُ مِثْلُ
أَجْرِهِ، إِلَّا أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ
Maksudnya:
Sesiapa yang memberi makanan berbuka
untuk orang yang berpuasa, maka dituliskan untuknya ganjaran seumpamanya tanpa
mengurang pahala orang yang berpuasa. (Sunan al-Darimi).
Dalam masa yang sama jangan anda melupakan
orang-orang fakir miskin apabila melakukan amalan-amalan yang disukai oleh
Allah iaitu dengan memasukkan kegembiraan dalam hati orang Islam. Tidak
diragukan lagi, bahawa menggembirakan orang-orang fakir miskin di bulan Ramadan
merupakan amalan yang disukai oleh Allah SWT.
Semoga kita semua termasuk dalam
golongan yang diberikan hidayah untuk beramal dengannya.