Selasa, 1 Januari 2019

Kenapa Rasulullah Tidak Pernah Melaungkan Azan



 Kenapa Rasulullah Tidak Pernah Melaungkan Azan

Mungkin kita tertanya-tanya dengan soalan ini. Setelah diteliti didapati tiada dalil menyatakan bahawa Rasulullah melaungkan azan untuk sembahyang. Juga tidak di dapati sebab yang jelas tentang perkara ini. Oleh itu, di sini dinyatakan beberapa sebab dan tafsirannya sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama mengenai kenapa Rasulullah tidak pernah melaungkan azan sepanjang hidup baginda.

Di kalangan para ulama menyatakan sebabnya bahawa azan adalah seruan panggilan dan wajib bagi pendengar menyahutnya secara segera agar tidak termasuk dalam dosa kerana panggilan Rasulullah wajib disahut dengan segera tanpa ada pilihan sebagaimana firman Allah:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا (36)- الأحزاب: 36
Maksudnya:
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

Oleh itu wajib menyahut panggilan Rasulullah apabila baginda melaungkan:
Marilah Sembahyang: (حي على الصلاة)
Marilah menuju kepada kejayaan: (حي على الفلاح)
Seruan ini jelas dan sesiapa yang mengabaikannya menyebabkan jadi pelaku masiat, berdosa dan mungkin membawa kepada kekufuran. Lagi pun baginda ada bersabda:
في الحديث الشريف “كلكم تدخلون الجنه إلا من أبي، قالوا: ومن يأبي يارسول الله ؟ قال: من أطاعني دخل الجنه ومن عصاني فقد أبي”رواه البخاري
Maksudnya:
Kamu semua akan masuk syurga melainkan orang yang enggan. Lalu para sahabat bertanya: Siapa orang yang enggan wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Orang yang mentaatiku pasti ia masuk syurga dan orang yang menderhakaiku nescaya ia termasuk dalam kalangan orang yang enggan.

Di antara mereka juga menyatakan:
Baginda terlalu sibok dalam urusan dakwah yang tidak memberi ruang untuk baginda melaungkan azan lima waktu dalam sehari semalam dan dalam waktu tertentu secara tepat. As-Syaukani berkata dalam kitab Nail al-Awtar dalam perbincangan perbezaan pendapat ulama “yang manakah lebih afdhal, azan atau imam” lalu beliau berkata: Rasulullah serta Khulafa al-Rashidin dan mereka yang selepasnya tidak melaungkan azan tetapi mereka hanya menjadi imam sahaja, begitulah juga perjalanan para fuqaha dan ulama.

Ada juga menyatakan:
Rasulullah diutuskan sebagai pendakwah menyeru manusia. Sekiranya baginda melaungkan azan dan menyebutkan kalimah: (أشهد أن محمدا رسول الله) dan menyebut pula: (حي علي الصلاه حي علي الفلاح) menjadikan seolah-olah baginda menyeru kepada diri sendiri. Dalam perkara ini, tidak dibenarkan dalam hak kemuliaan baginda, yang mana bagindalah makhluk paling mulia.

Ada juga menyatakan:
Muazzin adalah orang kepercayaan kerana manusia mengikuti mereka dan ikuti perjalanan azannya di serata pelosok dunia. Jikalau baginda azan, menyebabkan baginda terus melaungkan azan secara berterusan sedangkan baginda banyak lagi urusan lain dalam masalah dakwah dan masalah urusan orang Islam.

Ada juga menyatakan:
Apabila baginda melaungkan: (أشهد أن محمدا رسول الله) seolah-olah di sana ada nabi yang lain selain daripada baginda dalam zaman baginda atau zaman selepas baginda. Sedangkan azan  termasuk dalam amanah dan baginda tidak dilarang mewakilkan kepada para sahabatnya agar menjalankan bersama-sama baginda. Sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Ahmad dan Tarmizi iaitu:
الإمام ضامن والمؤذن أمين
Maksudnya:
Imam itu bertanggungjawab dan muazzin itu kepercayaan.

Kesimpulan:

Ada banyak sebab yang menyebabkan Rasulullah tidak melaungkan azan. Mungkin tidak ada satu sebab pun dan mungkin juga sebab-sebab ini yang menyebabkan Rasulullah tidak melaungkan azan dan membiarkan para sahabat melakukannya. 

Tiada ulasan: